Terma Perkhidmatan
Ringkasan:
- FixOS ialah sistem dalam talian untuk mengurus kedai repair.
- Data kedai anda, termasuk data pelanggan kedai, adalah milik kedai anda. Anda boleh mengeksportnya pada bila-bila masa.
- Langganan dibayar pendahuluan, bulanan atau tahunan. Tiada caj automatik.
- Percubaan percuma 14 hari tanpa bayaran.
- Terma ini tertakluk kepada undang-undang Malaysia.
Kandungan
- Tentang terma ini
- Akaun
- Penggunaan yang dibenarkan dan dilarang
- Pelan, langganan dan pembayaran
- Percubaan percuma
- Bila langganan tamat
- Penggantungan dan penamatan
- Pemilikan data
- Perkhidmatan pihak ketiga
- Ketersediaan, sandaran dan sokongan
- Harta intelek
- Had liabiliti
- Tanggung rugi
- Perubahan terma
- Undang-undang dan pertikaian
- Hubungi kami
1. Tentang terma ini
Terma ini ialah perjanjian antara (No. Pendaftaran SSM ), iaitu pengendali FixOS (“kami”), dengan perniagaan yang mendaftar dan menggunakan FixOS (“Kedai” atau “anda”).
Dalam terma ini:
- Perkhidmatan bermaksud sistem FixOS, termasuk portal kedai di
<nama-kedai>.fixos.my, portal pelanggan, aplikasi dan ciri tambahan (add-on). - Pengguna bermaksud pemilik kedai dan staf yang diberi akses oleh kedai.
- Pelanggan Kedai bermaksud pelanggan anda yang datanya anda masukkan ke dalam FixOS.
Dengan mendaftar atau menggunakan Perkhidmatan, anda bersetuju dengan terma ini, Notis Privasi dan Polisi Bayaran Balik. Jika anda mendaftar bagi pihak sebuah perniagaan, anda mengesahkan bahawa anda diberi kuasa untuk berbuat demikian.
2. Akaun
- Anda mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan mengendalikan perniagaan yang sah.
- Berikan maklumat yang benar dan terkini, iaitu nama kedai, nama pemilik, telefon dan emel. Kemas kini maklumat itu jika ia berubah.
- Anda bertanggungjawab menjaga kerahsiaan kata laluan dan atas semua aktiviti dalam akaun anda. Ini termasuk tindakan staf yang anda beri akses.
- Tetapkan peranan dan kebenaran staf dengan berhati-hati. Batalkan akses staf yang telah berhenti.
- Maklumkan kepada kami segera jika anda mengesyaki akaun anda telah diceroboh.
- Satu akaun adalah untuk satu perniagaan. Cawangan tambahan diurus dalam akaun yang sama mengikut had pelan.
- Subdomain (
nama.fixos.my) diberikan untuk kegunaan anda selagi akaun aktif. Kami boleh menolak atau menukar subdomain yang mengelirukan, menyinggung, atau melanggar hak pihak lain, termasuk cap dagangan.
3. Penggunaan yang dibenarkan dan dilarang
Dibenarkan
Mengurus operasi kedai anda yang sah. Contohnya: rekod repair, sebut harga, stok, jualan, pelanggan, staf, kewangan, invois, dan komunikasi dengan pelanggan anda berkaitan perkhidmatan kedai.
Dilarang
- Menggunakan Perkhidmatan untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang Malaysia. Contohnya: menjual atau membaiki barang curi, memalsukan IMEI, atau menipu.
- Memasukkan atau memproses data peribadi tanpa asas yang sah di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).
- Menghantar mesej spam, mesej pukal tanpa kebenaran penerima, atau kandungan yang mengancam, lucah atau memfitnah.
- Cuba mengakses akaun atau data kedai lain, menguji kelemahan keselamatan tanpa kebenaran bertulis, atau memintas had pelan dan kawalan keselamatan.
- Membebankan sistem secara sengaja. Contohnya: skrip automatik berlebihan, pengikisan data (scraping), atau serangan penafian perkhidmatan.
- Menyalin, menjual semula, menyewakan atau membina produk pesaing daripada Perkhidmatan. Ini termasuk kejuruteraan songsang, kecuali setakat yang dibenarkan undang-undang.
- Memuat naik perisian hasad atau fail yang melanggar hak cipta pihak lain.
4. Pelan, langganan dan pembayaran
- Pelan dan harga. Pelan, had dan harga semasa dipaparkan di fixos.my dan di halaman Langganan & Bil dalam portal kedai. Contoh had ialah bilangan cawangan, staf, rekod repair dan ciri.
- Pelan Percuma. Pelan Percuma mempunyai had tertentu, contohnya jumlah rekod repair. Bila had dicapai, rekod baharu disekat, tetapi rekod sedia ada masih boleh dilihat, diurus dan dieksport.
- Bayaran pendahuluan. Langganan berbayar dibayar pendahuluan untuk tempoh bulanan atau tahunan. Harga tahunan dipaparkan semasa pembayaran.
- Kaedah bayaran. Bayaran dibuat melalui kaedah yang dipaparkan dalam portal, contohnya DuitNow QR. Selepas membayar, anda perlu memuat naik resit. Langganan diaktifkan atau dilanjutkan selepas kami mengesahkan bayaran. Resit dengan ID transaksi pendua atau jumlah yang tidak sepadan boleh ditolak.
- Tiada pembaharuan automatik. Kami tidak menyimpan butiran kad dan tidak mengecaj anda secara automatik. Langganan diteruskan hanya jika anda membuat bayaran untuk tempoh seterusnya.
- Add-on dicaj mengikut harga yang dipaparkan dan mengikut tempoh langganan yang sama. Contoh add-on ialah WhatsApp automatik dan cawangan tambahan.
- Harga Ahli Pengasas (jika ditawarkan) dikunci untuk akaun yang layak selagi langganan berbayar berterusan tanpa terputus.
- Perubahan harga diberitahu sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal. Perubahan itu terpakai pada tempoh langganan seterusnya, bukan tempoh yang telah dibayar.
- Cukai. Harga adalah dalam Ringgit Malaysia. Cukai yang dikenakan oleh undang-undang (jika ada) akan dinyatakan pada invois.
- Invois langganan dikeluarkan atas nama pengendali kepada kedai anda.
- Kod rujukan. Ganjaran rujukan (contohnya 1 bulan percuma) diberi selepas bayaran pertama kedai yang dirujuk disahkan. Ganjaran ini tiada nilai tunai dan tidak boleh dipindah milik. Kami boleh membatalkan ganjaran yang diperoleh melalui penyalahgunaan, contohnya akaun palsu atau merujuk diri sendiri.
5. Percubaan percuma
- Kedai baharu mendapat percubaan percuma 14 hari dengan ciri pelan yang dinyatakan semasa pendaftaran. Tiada bayaran atau butiran kad diperlukan.
- Satu percubaan sahaja dibenarkan bagi setiap perniagaan. Kami boleh menolak percubaan berulang bagi perniagaan yang sama.
- Bila percubaan tamat tanpa bayaran, akaun anda bertukar ke Pelan Percuma secara automatik. Data anda tidak dipadam.
- Jika data anda melebihi had Pelan Percuma (contohnya cawangan atau staf), sebahagian fungsi boleh menjadi baca sahaja sehingga anda menaik taraf atau mengurangkan penggunaan.
6. Bila langganan tamat
- Selepas tarikh tamat, ada tempoh tangguh 3 hari. Dalam tempoh ini, anda masih boleh menggunakan ciri pelan dan memperbaharui langganan.
- Jika tiada bayaran dibuat, akaun bertukar ke Pelan Percuma. Had Pelan Percuma terpakai.
- Dalam mod baca sahaja, anda masih boleh log masuk, melihat dan mengeksport data, serta membayar langganan.
7. Penggantungan dan penamatan
Oleh anda
Anda boleh berhenti melanggan pada bila-bila masa dengan tidak memperbaharui langganan. Untuk menutup akaun dan memadam data, hubungi kami di . Kami akan mengesahkan identiti anda sebelum bertindak.
Oleh kami
Kami boleh menggantung atau menamatkan akses jika:
- anda melanggar terma ini dengan serius atau berulang kali;
- terdapat risiko keselamatan kepada Perkhidmatan atau kedai lain;
- kami dikehendaki berbuat demikian oleh undang-undang, mahkamah atau pihak berkuasa; atau
- terdapat penipuan bayaran.
Kecuali dalam keadaan segera, kami akan memberi notis dan peluang untuk membetulkan masalah sebelum menggantung akaun.
Selepas penamatan
- Anda diberi sekurang-kurangnya hari untuk mengeksport data, kecuali jika dilarang oleh undang-undang.
- Akaun yang digantung disimpan selama hari, kemudian diarkib.
- Kami tidak memadam data kedai tanpa tindakan sengaja oleh kami atau permintaan anda. Pengecualian ialah data yang perlu disimpan untuk mematuhi undang-undang, contohnya rekod bayaran dan invois. Rujuk Notis Privasi, bahagian Tempoh simpanan.
- Jika kami menghentikan keseluruhan Perkhidmatan, kami akan memberi notis yang munasabah dan memulangkan bayaran bagi tempoh prabayar yang belum digunakan.
8. Pemilikan data
- Data kedai adalah milik kedai. Ini termasuk rekod repair, pelanggan, stok, jualan, staf dan kewangan. Kami tidak menuntut pemilikan ke atas data anda.
- Anda memberi kami kebenaran terhad untuk menyimpan dan memproses data itu hanya untuk menyediakan, menyelenggara, melindungi dan menyokong Perkhidmatan untuk anda.
- Bagi data peribadi Pelanggan Kedai dan staf anda, kedai ialah pengawal data (pengguna data). Kami ialah pemproses data yang bertindak mengikut arahan anda. Anda bertanggungjawab memastikan anda mempunyai asas yang sah dan memberi notis privasi kepada pelanggan anda.
- Kami tidak menjual data anda atau data Pelanggan Kedai. Kami juga tidak menggunakan data itu untuk pengiklanan.
- Anda boleh mengeksport data anda pada bila-bila masa, termasuk dalam mod baca sahaja.
- Setiap kedai disimpan dalam pangkalan data yang berasingan.
9. Perkhidmatan pihak ketiga
- WhatsApp. Add-on WhatsApp automatik menggunakan WhatsApp Business API rasmi (Meta) milik kedai anda. Anda juga boleh memilih sambungan WhatsApp tidak rasmi (imbas QR). Jika anda memilih cara ini, anda faham dan bersetuju bahawa nombor WhatsApp anda boleh disekat oleh WhatsApp atau Meta, dan risiko itu ditanggung sendiri. Persetujuan anda direkod. Penggunaan WhatsApp juga tertakluk kepada terma WhatsApp atau Meta.
- e-Invois LHDN (MyInvois). Jika diaktifkan, FixOS menghantar invois kepada MyInvois bagi pihak kedai menggunakan profil cukai kedai. Anda bertanggungjawab atas ketepatan maklumat cukai dan pematuhan kewajipan e-Invois anda.
- Bukan nasihat profesional. Laporan kewangan, pengiraan cukai dan templat dalam FixOS ialah alat bantuan sahaja. Ia bukan nasihat cukai, perakaunan atau undang-undang. Sahkan dengan profesional bertauliah.
- Kami tidak bertanggungjawab atas gangguan atau perubahan oleh perkhidmatan pihak ketiga di luar kawalan kami.
10. Ketersediaan, sandaran dan sokongan
- Kami berusaha memastikan Perkhidmatan sentiasa tersedia, tetapi tidak menjamin ia bebas gangguan atau ralat. Kerja penyelenggaraan dijadualkan pada waktu kurang sibuk apabila boleh.
- Kami membuat sandaran data secara berkala. Kami tetap menggalakkan anda mengeksport data penting secara berkala.
- Sokongan disediakan melalui saluran yang dipaparkan dalam portal dan di .
11. Harta intelek
Perisian, reka bentuk, jenama FixOS dan dokumentasi adalah milik pengendali atau pemberi lesennya. Anda diberi lesen terhad, tidak eksklusif dan tidak boleh dipindah milik untuk menggunakan Perkhidmatan semasa langganan anda sah. Jika anda memberi cadangan atau maklum balas, kami boleh menggunakannya untuk menambah baik Perkhidmatan tanpa sebarang kewajipan kepada anda.
12. Had liabiliti
- Perkhidmatan disediakan “sebagaimana adanya” dan “sebagaimana tersedia”, setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
- Kami tidak bertanggungjawab atas kerugian tidak langsung, khas atau berbangkit. Contohnya: kehilangan keuntungan, hasil, pelanggan, muhibah atau peluang perniagaan.
- Jumlah liabiliti kami bagi semua tuntutan berkaitan Perkhidmatan terhad kepada jumlah yuran yang anda bayar kepada kami dalam 12 bulan sebelum peristiwa yang menyebabkan tuntutan.
- Had ini tidak terpakai pada liabiliti yang tidak boleh dihadkan atau dikecualikan di bawah undang-undang Malaysia.
13. Tanggung rugi
Anda bersetuju menanggung rugi kami terhadap tuntutan pihak ketiga yang timbul daripada perkara berikut:
- penggunaan Perkhidmatan oleh anda atau staf anda yang melanggar terma ini atau undang-undang;
- kandungan yang anda masukkan; atau
- pemprosesan data Pelanggan Kedai tanpa asas yang sah.
14. Perubahan terma
Kami boleh mengemas kini terma ini dari semasa ke semasa. Versi dan tarikh berkuat kuasa dinyatakan di bahagian atas halaman ini. Bagi perubahan penting, kami akan memaklumkan anda melalui emel atau notis dalam portal sekurang-kurangnya hari sebelum perubahan berkuat kuasa. Jika anda terus menggunakan Perkhidmatan selepas tarikh itu, anda dianggap menerima terma baharu. Jika anda tidak bersetuju, anda boleh berhenti melanggan dan mengeksport data anda.
15. Undang-undang dan pertikaian
Terma ini ditadbir oleh undang-undang Malaysia. Kedua-dua pihak akan cuba menyelesaikan pertikaian secara baik terlebih dahulu dengan menghubungi kami. Jika tidak selesai, pertikaian akan dirujuk kepada mahkamah Malaysia yang berbidang kuasa. Jika mana-mana peruntukan didapati tidak sah, peruntukan lain kekal berkuat kuasa.